OLEH : MUHAMMAD ISA AL-JAMBULI
SECARA mudah, "dosa" atau "berdosa" boleh ditakrifkan sebagai "perbuatan larangan yang diharamkan melakukannya mengikut hukum syara' atau perlakuan yang melanggar disiplin atau undang-undang dalam syari'at Islam". Perbuatan dosa disebut juga "maksiat" atau perbuatan mungkar (kemungkaran). Seseorang itu dikatakan berdosa, sama ada jika dia melakukan perbuatan haram atau pun tidak melakukan amalan yang diwajibkan dalam syari'at Islam juga. Setiap perbuatan dosa akan mengakibatkan pembalasan 'azab daripada Allah s.w.t di akhirat dan juga di dunia.
Perbuatan dosa itu banyak (mengikut Ibunu 'Abbas, banyaknya hampir tujuh ratus jenis). Orang yang kurang mendalami ajaran agama Islam tidak dapat mempastikan sesuatu perbuatan itu sama ada harus (halal), wajib, sunat atau haram. Oleh sebab perbuatan dosa itu mengakibatkan pembalasan atau kecelakaan, di dunia dan di akhirat, maka mengenalpasti segala perbuatan haram itu adalah wajib. Justeru, menuntut ilmu agama itu diwajibkan ke atas muslimin dan muslimat (maksud hadits).
Dalam tulisan ringkas ini hanya disebut dosa-dosa besar sahaja. Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Jauhilah kamu tujuh dosa". Lalu Sahabat bertanya: "Apakah tujuh dosa itu hai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Menyengutukan Allah (al-syirku billah), perbuatan sihir, membunuh orang yang tidak berdosa (tidak harus dibunuh), makan riba, makan harta anak yatim, lari dari perang (jihad fi sabilillah) dan menuduh wanita yang baik melakukan zina".
Selain itu, berdasarkan hadits-hadits lain, antara perbuatan-perbuatan dosa besar yang lain adalah seperti berikut :
- derhaka kepada ibu atau bapa,
- membunuh anak kerana takut jatuh papa (imlaq),
- berzina dengan isteri jiran,
- menjadi saksi bohong (palsu).
Orang yang berdosa diibaratkan sebagai orang yang berhutang. Seperti si berhutang, si pendosa juga tetap menanggung hutang dosanya selama dia tidak melunaskannya. Cara melunaskan hutang dosa ialah bertaubat. Bertaubat bermaksud menghentikan kerja dosa di samping beristighfar, memohon keampunan daripada Allah Taala dan kemaafan daripada manusia, jika dosa itu melibatkan manusia.
Bertaubat bukan sahaja untuk melunaskan hutang dosa, tetapi juga untuk mendapat hidayah dan taufik daripada Allah, khususnya dalam kerja ibadat.
Orang yang berdosa wajib mencuci dosanya dengan bertaubat. Allah berfirman, mafhumnya, "Hai, orang-orang beriman. Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nashuha (sebenar taubat)". (al-Tahrim : 8).
Dosa yang dibiarkan berlarutan (tanpa taubat) itu bukan saja sentiasa menempah pembalasan azab di akhirat, tetapi juga mendatangkan dua kecelakaan di dunia, khususnya dalam konteks kerja ibadat. Dua kecelakaam itu ialah : Pertama, kecelakaan yang dinamakan hirman (keadaan yang mendindingi taufik daripada Allah). Orang yang ditimpa kecelakaan ini menghadapi kesulitan atau gangguan yang menghalangnya daripada taat mngerjakan ibadat. Kecelakaan yang kedua dinamakan khidzlan (kehilangan daya dan minat untuk mengerjakan ibadat).
Jadi, pendosa yang tidak mahu bertaubat daripada dosanya atau sengaja mengekalkan perbuatan dosanya itu akan kehilangan kerajainan, ketekunan, ketaatan dan keupayaa dalam menjalani kerja-kerja kebajikan dan ibadat.
Mengikut Imam al-Ghazali r.a, dosa yang berkekalan itu akan menghitamkan hati. Hati yang hitam itu menjadi keras lalu hilanglah keikhlasan, kejernihan dan kemanisan dalam beribadat. Orang yang hatinya sudah menjadi keras dan hitam akibat dosa tanpa taubat itu amatlah tipis peluangnya untuk mendapat taufik daripada Allah s.w.t.
Sesungguhnya tidak hampir taufik daripada Allah kepada orang yang mengekalkan kerja maksiat. Tidak menjadi ringan lidah dan anggota badannya untuk mengerjakan ibadat. Apa yang diperolehinya ialah kekusutan mental dan kekeruhan jiwa, lalu meraba-raba di dalam kegelapan yang menyesatkan. Seterusnya menjadi fasiq atau kufur.
Jadi, amalan bertaubat itu amat penting. Hanya dengan bertaubat, akan terlepaslah seseorang itu daripada tanggungan beban dosa yang akan mencelakakan dirinya. Malah, dengan bertaubat, terutamanya daripada dosa besar, seseorang itu akan diberi keampunan terhadap dosa-dosanya yang kecil. Allah berfirman, mafhumnya, "Jika kamu menjauhi dosa besar antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia". (Surah al-Nisa' : 31)
Taubat yang sebenar-benar taubat ialah taubat nashuha. Taubat nashuha bermaksud, bersungguh-sungguh membebaskan hati dan diri daripada dikuasai oleh ketagihan melakukan dosa dan memerangi nafsu yang sentiasa mendorong manusia supaya mengulangi perbuatan dosa.
Orang yang mahu bertaubat nasuha mesti mematuhi sekurang-kurangnya empat syarat :
Pertama, hendaklah benar-benar berazam hendak meninggalkan perbutan dosanya dan berusaha bersungguh-sungguh mengalahkan nafsu yang mengobarkan keinginan mengulangi perbuatan dosa itu. Adalah tidak dinamakan bertaubat nasuha, jika masih tersemai cita-cita atau pun angan-angan hendak mengulangi perbuatan dosa.
Kedua, hendaklah bertaubat terhadap dosa yang pernah dilakukan. Tidak dinamakan bertaubat bagi orang yang suci daripada dosa seperti para Rasul dan Nabi yang maksum itu. Dalam keadaan maksum pun, Rasulullah berisfighfar lebih daripada 70 kali setiap hari (Maksud Hadits riwayat Bukhari). Walaupun tidak melakukan dosa besar, manusia biasa (bukan maksum) tidak sunyi daripada melakukan dosa. Justeru, kita perlu sentiasa beristighfar.
Ketiga, hendaklah bertaubat ketika diri masih muda, sihat dan kuat, masih terdaya melakukan dosa. Bagi hamba Allah yang sudah terlalu tua atau sakit, sudah tak terdaya lagi melakukan dosa itu, walaupun pintu taubat masih terbuka sehingga ke akhir hayatnya, taubatnya dikira sudah terlambat, kerana ketika itu dia sudah tidak larat lagi hendak mengulangi perbuatan dosanya. Syarat ini terkecuali bagi perbuatan dosa yang yang tidak berkaitan dengan tenaga dan usia tua. Umpamanya, mengumpat, berdusta, mengadu-dumba, menuduh orang berzina dan sebagainya.
Keempat, hendaklah bertaubat dengan ikhlas, semata-mata dengan tujuan membersihkan kotoran noda dan dosa untuk melayakkan diri beribadat kepada Allah Taala. Tegasnya, bertaubat semata-mata kerana Allah, bukan untuk kepentingan duniawi, umpamanya untuk mendapat pujian, penghormatan atau kepercayaan orang. Atau, kerana takut dipulau atau dihinakan oleh masyarakat.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment